Aliff sedia berlakon watak mak nyah
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.myLEWAT kebelakangan ini, watak lelaki lembut atau mak nyah banyak ditonjolkan kepada masyarakat baik menerusi drama, filem mahupun teater.
Bagaikan menjadi satu kemestian, cabang seni yang memaparkan golongan tersebut walaupun kebanyakannya dibawa dalam unsur lawak, kadangkala ia disulam juga dengan pengajaran.
Pelakon Ahmad Tarmimi Siregar dan Datuk Jalaludin Hassan merupakan antara contoh pelakon senior yang telah pun membawakan watak sebagai lelaki lembut.
Sememangnya, ia sesuatu yang cukup mencabar namun memperlihatkan mereka amat komited terhadap dunia seni meski diberikan watak sedemikian.
Begitu juga kepada beberapa pelakon muda yang sanggup melakonkan watak lelaki lembut sebagai usaha mengembangkan bakat masing-masing.
Atas dasar itu, empunya diri bernama Mohamad Aliff Mohd. Razali, 22, bintang Akademi Fantasia musim keenam (AF6) yang tersingkir pada konsert minggu ketujuh, Sabtu lalu, juga tidak kisah andai diberikan peluang untuk melakonkan watak lelaki lembut.
“Kalau boleh, saya mahu watak sebagai hero. Tetapi, kalau diberi watak mak nyah, saya akan ‘sapu juga (ambil peluang),’’ katanya ketika ditemui di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Mohamad Aliff atau mesra dengan panggilan Aliff merupakan pelajar kelapan yang tersingkir daripada meneruskan pengajian AF musim ini.
Dengan penyingkiran anak jati Pulau Pinang itu, enam pelajar bakal meneruskan perjuangan dalam konsert minggu kelapan, Sabtu ini.
Mereka ialah Stracie Angie Anam, 18, (Stacy); Nadia Haswani Hasnan, 18, (Nadia); Mohammed Idris Mohd. Zaizizi, 22, (Riz); Ahmad Nubhan Ahamad, 22, (Nubhan); Khairul Nizam Baharom, 31, (Toi) dan Stanley Maringan David Impi, 25, (Stanley).
Menyambung cerita, Aliff menjelaskan, sebagai orang yang masih baru hendak bertapak dalam dunia hiburan, dia perlu mencuba pelbagai cabang seni termasuk lakonan bagi mengembangkan bakatnya.
“Kalau dalam bidang nyanyian, saya suka genre pop rock dan balada. Jika ada rezeki, saya akan cuba menceburi bidang-bidang lain,’’ jelas anak kepada bekas wartawan Utusan Malaysia, Resma Abdullah, 52, itu lagi.
Reda tersingkir
Tersingkir selepas menerima undian tercorot melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan talian tetap daripada penonton, Aliff yang pernah bekerja sebagai Tukang Tingkatan Biasa di Tenaga Nasional Berhad (TNB) reda dengan segala keputusan dan yakin akan peroleh rezeki nanti.
“Selepas ini, saya akan cuba untuk memohon melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) dalam bidang muzik.
“Dahulu, saya pernah cuba memohon di dua buah IPT tetapi ditolak. Saya tidak akan putus asa,’’ katanya.
Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang tersebut, dia yang mahir bermain drum, gitar serta keyboard juga akan berusaha untuk meningkatkan kualiti nyanyian.
Gerun dengan Adlin
Saban minggu, pengkritik bernama Adlin Aman Ramli sering kali mengeluarkan kritikan-kritikan pedas terhadap setiap persembahan para pelajar AF6 yang gagal memuaskan hatinya.
Sentiasa jujur dan berterus-terang, Adlin merupakan pengkritik yang amat digeruni oleh Aliff.
“Dia (Adlin) seorang yang berpengalaman.
“Justeru, apa sahaja persembahan, dia pasti dapat menangkap segala kelemahan dan kekuatan seseorang pelajar itu dengan tepat,’’ ujar Aliff yang dilahirkan pada 30 September 1986.
Gosip cinta
Dalam pada itu, belum pun ‘panas’ dalam mencipta nama di bidang seni, Aliff sudah dilanda gosip.
Penyebaran gambarnya memegang tangan seorang wanita telah tersebar luas menerusi Internet.
Menjawab mengenai gosip terbabit, Aliff yang masih solo berkata, ia adalah satu salah faham.
“Memang saya ada memegang tangan wanita itu. Kami hanyalah berkawan dan sama-sama menyertai uji bakat AF6.
“Saya belum ada yang istimewa. Saya juga pernah dikatakan bercinta dengan Stacy dan Nadia. Mereka itu saya anggap sebagai adik sahaja,’’ jelasnya.
Hubungan Aliff dengan
M. Shariff
Tanggal 6 Julai, 1999 pasti tidak dilupakan apabila penyanyi popular pop yeh yeh, M. Shariff menghembuskan nafas terakhirnya akibat serangan jantung.
Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar terhadap dunia seni tempatan kerana Allahyarham adalah penyanyi yang tidak pernah jemu mempopularkan irama 60-an.
Kini, ‘empayar’ seni yang sekian lama diperjuangkan M. Shariff diteruskan menerusi anaknya, Syafizawati Shariff, 30, yang lebih dikenali sebagai Shafi.
Selain berjaya membuka sebuah ‘sekolah muzik’ yang dinamakan, Shafi Vocal School (SVS), Shafi adalah salah seorang tenaga pengajar AF6 iaitu guru vokal persembahan.
Sungguhpun begitu, tidak ramai yang tahu bahawa Aliff sebenarnya mempunyai kaitan persaudaraan dengan M. Shariff dan Shafi.
“Arwah M. Shariff adalah bapa saudara yang saya panggil Pak Tam. Masa kecil dahulu, saya pernah dapat hadiah berupa gitar darinya (M. Shariff).
“Cikgu Shafi pula, ketika mula-mula memasuki AF6, dia memang tidak dapat mengecam muka saya. Namun, lama-kelamaan dia tahu juga,’’ kata Aliff menjelaskan hubungan mereka.